Sunday, March 20, 2011

Terengganu - Kelas maya - e-Book

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my


ROHAYA menunjukkan cara menggunakan e-Book kepada murid Tahun Empat SK Paya Bunga. Terengganu pengubah landskap pendidikan

TERENGGANU terus melakar sejarah dalam bidang pendidikan. Sesudah menjadi peneraju dalam penggunaan komputer riba mini atau e-Book menggantikan buku teks dan pelaburan besar bidang pendidikan diterjemahkan dengan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan awam saban tahun, usaha merintis kemajuan pendidikan tidak terhenti di situ.....
Kini, Terengganu menjadi pelopor pelaksanaan kelas maya, iaitu kesinambungan daripada penggunaan e-Book.

Biarpun langkah merealisasikan pembelajaran kelas maya membabitkan kos tinggi, ia bukan halangan bagi kerajaan negeri membuat pelaburan besar kerana pembangunan pendidikan adalah antara agenda penting dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang akhirnya disasarkan menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan.
Kerajaan negeri memperuntukkan RM30,000 bagi mewujudkan setiap kelas maya bertujuan meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar tetapi secara tidak langsung memberikan suntikan tambahan dalam aspirasi untuk memahirkan mereka dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Malah, apa yang membanggakan, model kelas maya yang dibangunkan anak syarikat kerajaan negeri, Top IT Sdn Bhd (TOP IT), dikatakan jauh lebih baik daripada kaedah digunakan di negara luar, termasuk Korea Selatan dan Singapura yang diketahui lebih jauh ke depan dalam bidang ICT.

Untuk permulaan, tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga, Kuala Terengganu; SK Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu dan SK Teluk Kalong, Kemaman dipilih untuk melaksanakan modul pembelajaran kelas maya.




Bagaimanapun, SK Paya Bunga adalah sekolah pertama di negeri ini memperkenalkan teknik pembelajaran interaktif itu, manakala dua lagi sekolah terbabit akan memulakan pembelajaran kelas maya dalam masa terdekat. Walaupun baru diperkenalkan lebih sebulan lalu, manfaat dan keberkesanan kelas maya sudah terzahir. Ini diakui Guru Besar SK Paya Bunga, Rohaya Ibrahim, bahawa konsep pembelajaran kelas maya yang interaktif dengan menggunakan aplikasi integrasi e-Book dan ‘smart board’ berjaya meningkatkan pencapaian murid dalam pelajaran, malah yang paling membanggakan ialah dari sudut kehadiran murid ke sekolah.

“Masalah dihadapi SK Paya Bunga ialah isu kehadiran murid. Jika dulu, murid sangat susah untuk hadir kelas, kini senario itu berubah sama sekali. Peratus kehadiran yang sebelum ini sekitar 68 peratus, kini melonjak 100 peratus. Lebih membanggakan, sebelum ini guru tidak bersemangat membuat kelas malam kerana tiada murid akan hadir, tetapi sekarang ada murid yang sehingga tidak mahu pulang dengan kehadiran dicatatkan pula 100 peratus.

“Dalam tempoh singkat pelaksanaan kelas maya di sekolah ini, kita sudah dapat melihat peningkatan ketara dalam pencapaian murid yang kita nilai menerusi peperiksaan dalaman yang diadakan. Malah, guru juga mengakui murid lebih berminat belajar kerana corak pembelajaran yang interaktif serta menyeronokkan menggunakan e-Book dan smart board,” katanya.

Kelas maya tingkat prestasi pelajar

“Keberkesanan pembelajaran kelas maya dalam meningkatkan prestasi murid memang tidak dapat dinafikan kerana ia memudahkan guru memantau prestasi pembelajaran murid, malah jika murid berdepan masalah dalam sesuatu subjek, guru dan murid boleh membuat semakan secara mudah melalui buku teks yang dimuatkan dalam e-Book,” jelas Rohaya.

Dalam keadaan yang mana seseorang guru mengenal pasti murid terbabit yang lemah atau tidak menguasai subjek diajar pada tahun sebelumnya, mereka tidak perlu lagi bersusah payah mencari buku teks lama kerana semuanya terkandung dalam e-Book yang dilengkapi buku teks Tahun Empat, Lima dan Enam.

Pembelajaran kelas maya terbukti menyuntik unsur positif dalam diri murid yang semakin berminat serta memberi tumpuan mendalam terhadap pelajaran, serta membentuk disiplin dan kendiri yang baik, jauh berbeza dengan landskap pembelajaran dalam kelas tradisional sebelum ini.

Kes 1

“SEBELUM pelaksanaan kelas maya, A seorang murid yang sangat malas dan tidak minat untuk belajar. Dalam seminggu, boleh dikatakan hanya sehari A datang ke sekolah sehingga guru terpaksa menjemput dia di rumah. Sikap bersungguh-sungguh guru yang tidak mahu A ponteng sekolah menyebabkan ibu bapanya tidak suka pada guru. Ibu bapanya mencari pendapatan dengan menjaja dan dia membesar di tepi jalan mungkin memberi kesan terhadap disiplin dirinya. Tetapi, selepas mengikuti pembelajaran kelas maya, A berubah 100 peratus kepada seorang murid yang rajin datang ke sekolah, malah mencatat kehadiran penuh kini. Kini, daripada seorang murid yang tidak pernah lulus dalam ujian dan peperiksaan, A sudah pun menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan apabila mencatatkan keputusan lulus dalam beberapa mata pelajaran.”

Kes 2

B sering gagal dalam ujian dan peperiksaan, malah dalam setiap mata pelajaran, B tidak pernah mencapai tahap lulus minimum sekalipun. B juga tidak pernah menyiapkan kerja sekolahnya, malah tidak memiliki pensil dan tidak membawa buku, sekali gus menunjukkan B tidak minat bersekolah. B juga sangat tidak berdisiplin dan tidak menjaga kebersihan diri sehingga guru terpaksa menyediakan berus gigi di sekolah. Namun, selepas mengikuti kelas maya, B lebih dekat dan mesra dengan guru dan lebih bersemangat untuk belajar. Malah, B pernah menghantar e-mel kepada Guru Besarnya, Rohaya Ibrahim dan berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh mendapat 5A. B yang sebelum ini tidak pernah lulus, walaupun satu mata pelajaran, kini menunjukkan peningkatan apabila lulus dua mata pelajaran penting, iaitu Sains dan Matematik selepas mengikut kelas maya”.

p/s:   Shafik seronok dapat eBook , excited sangat selama ni jeles kat abang Syaid.. nak pinjam pun kedekut tapi hari ini dah dapat  pun... Alhamdulillah...

2 comments:

MamaEma said...

bagus jugak kan..terus budak yg malas dtg sekolah..akan rajin dtg sekolah....

tp belanja lebihlah sikir...

Kak Eiza said...

kelebihan eBook...tp ada juga keburukannya.. dok main game kalau tak pantau..:)tp sampai waktu jam 10 mlm terus intenet off automatic

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan jejak anda di sini & selepas ini mamaLUV akan jejak anda kembali. tq