Monday, May 23, 2011

Al Fatihah kepada mangsa tanah runtuh..

Mangsa tanah runtuh stabil tetapi trauma
2011/05/23

 foto Harian Metro Online
 Foto Harian Metro Online

KUALA LUMPUR: Keadaan sembilan mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat kelmarin semakin stabil tetapi masih trauma mengingatkan tragedi yang mengorbankan 16 nyawa, kebanyakannya kanak-kanak.

Seorang petugas Hospital Ampang berkata, enam mangsa dirawat di wad biasa manakala tiga lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Tiga di ICU kini stabil dan bertambah baik," katanya.
Kejadian tanah runtuh pada 2.30 petang kelmarin di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah At-Taqwa di Hulu Langat itu mengorbankan 16 nyawa.

Mangsa yang terselamat, Aizat Khusairi, 13, yang ditemui di hospital itu berkata beliau masih kedengaran suara jeritan kanak-kanak lain ketika tragedi itu.

Aizat Khusairi yang patah tangan kiri, berkata separuh badannya tertimbus di dalam tanah dan dapat dikeluarkan dua jam kemudian.

"Saya memang tinggal di rumah itu. Sekarang makcik yang menjaga saya. Tak tahu bila saya akan pulang dari sini," katanya.
Seorang lagi mangsa yang terselamat, Mohd Harris Izzuddin Sahrul, 11, juga bertambah pulih berbanding semalam.

Ibunya, Norizah Ibrahim, berkata anak sulungnya yang cedera di bahagian kaki itu mula melebarkan senyuman hari ini. (Berita Harian Online)


‘Saya tarik tangan adik’

KUALA LUMPUR: “Saya tarik tangan adik ketika kami lari menyelamatkan diri, tapi kaki adik tersangkut pada besi khemah dan dia jatuh. Saya tarik lagi tangannya tapi runtuhan batu mula menuju ke arah kami dan menimpa kepala adik.
“Saya mahu mengorek tanah mencari adik, namun orang ramai menghalang. Saya terus menangis kerana hanya mampu melihat adik tertimbus di depan mata.”
Demikian luahan Mohd Awie Abdul Latif, 11, menceritakan detik kematian adiknya, Mohd Riezman, 9, dalam tragedi tanah runtuh yang meragut 16 nyawa dan mencederakan sembilan penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat dekat sini, kelmarin.

Mohd Awie yang ditemui di luar Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam berkata, sebelum kejadian pada jam 2.30 petang itu dia, Mohd Riezman dan kebanyakan penghuni lain berada di dalam khemah untuk melakukan persiapan bagi majlis serahan bantuan oleh seorang pegawai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Ketika itu, Riezman berada dekat dengan saya. Kemudian, ada orang menjerit supaya menyelamatkan diri kerana ada tanah runtuh lalu kami semua segera lari. Saya sungguh terkilan kerana tak sempat menyelamatkan adik,” katanya. (Harian Online Metro)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan jejak anda di sini & selepas ini mamaLUV akan jejak anda kembali. tq