Monday, October 3, 2011

Renungan pagi: Jauhi sifat marah yang dimurkai Allah

Allah berfirman yang bermaksud: ."Sesungguhnya Kami akan menguji kamu sekalian dengan satu cubaan berupa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan tanam-tanaman. Berikanlah khabar gembira kepada orang yang bersabar iaitu ketika mereka ditimpa musibah mereka berkata: 'Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami akan kembali.' Mereka orang yang mendapat kurnia , kehormatan dan rahmat Tuhan dan merekalah orang yang mendapat hidayah." (Surah al-Baqarah, ayat 155 hingga 157)

Allah menguji manusia dengan pelbagai jenis ujian. Mungkin sewaktu mereka mewah dan senang dan mungkin juga sewaktu melarat atau susah.

Ujian berbentuk penderitaan hidup biasanya diatasi sendiri oleh manusia.

Sebaliknya, ujian berbentuk kesenangan dan kemewahan jarang dihadapi dengan sabar dan tabah. Ada manusia lupa daratan selepas dikurniakan harta dan pangkat sehingga lupa untuk terus berbakti sesama manusia.

Dalam hal ini, ada manusia yang kaya harta tetapi miskin jiwa dan rohaninya. Mental dan moralnya juga tidak bernilai kerana manusia seolah-olah lupa siapa yang menjadikannya kaya dan hidup mewah.

Dalam al-Quran, surah Al-i Imran, ayat 200, Allah berfirman yang bermaksud: " Wahai orang yang beriman, bersabarlah dan perkuatkanlah kesabaran di antara sesama kamu, dan bersedialah kamu, serta bertakwalah kepada Allah, agar kamu sekalian memperolehi kemenangan."

Sifat marah pula bukan sahaja dimurkai Allah, malah tidak disenangi sesama manusia. Sabda Rasulullah, yang bermaksud: "Jagalah diri kamu daipada perbuatan marah. Sesungguhnya marah itu laksana bara api yang menyala di hati bani Adam. Cubalah perhatikan ketika seseorang marah, lehernya kembang, dua biji matanya merah."

Jika orang yang marah sentiasa mengingati kebesaran dan keagungan Allah, nescaya akan redup api kemarahannya, sekali gus menyebabkan fikiran dan tindakannya kembali normal.

Sumber: Bahan bacaan





0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan jejak anda di sini & selepas ini mamaLUV akan jejak anda kembali. tq